Jatuh, hempap kakak sedang tidur bongkar hubungan seksKOTA BHARU – Jatuh dan terhempap kakak yang sedang tidur membongkar hubungan seks seorang pemuda dengan remaja bawah umur menyebabkan lelaki itu dihukum penjara 13 tahun serta dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.
Hukuman diputuskan Hakim, Ahmad Bazli



Bahruddin selepas tertuduh yang berusia 23 tahun dari Kampung Gong Tungai, Gunong, Bachok, mengaku bersalah merogol kekasihnya yang ketika itu berusia 15 tahun.
Hukuman diarah berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditahan pada 14 April 2016.
Kejadian berlaku di sebuah rumah di kampung sama pada jam 3.30petang, 25 Oktober 2013.
Terdahulu, tertuduh merayu hukumannya diringankan, sebaliknya Timbalan Pendakwa Raya negeri, Fahrul Razi Zainal Abidin memohon hukuman berat dengan mengambil kira mangsa yang masih di bawah umur.
``Tertuduh mengambil kesempatan atas alasan hubungan kekasih untuk memuaskan nafsu sejak mangsa berusia 13 tahun lagi hingga terbongkar. Tertuduh juga mengugut supaya tidak menceritakan perkara ini kepada orang lain, menunjukkan kejadian ini berlaku tanpa kerelaannya.
``Hubungan kekasih bukan lesen untuk tertuduh melakukan hubungan seksual sedangkan dia lebih berusia dan dewasa yang sepatutnya menjadi pembimbing mangsa. Mohon hukuman berat kerana mangsa bawah umur perlu dilindungi daripada pemangsa seksual seperti ini," katanya.
Hubungan mereka terbongkar pada 12 Disember 2013 apabila tertuduh yang pergi rumah mangsa dengan masuk melalui tingkap pada jam 10.30 malam terjatuh ketika hendak turun.
Ketika itu, tertuduh menghempap kakak mangsa yang kebetulan sedang tidur di bilik sama menyebabkan kakak mangsa menjerit.
Tertuduh pula melarikan diri, tetapi tercicir telefon bimbitnya di rumah tersebut. Setelah didesak abang, mangsa akhirnya menceritakan kejadian itu.
Hasil siasatan polis mendapati tertuduh dan mangsa telah melakukan hubungan seks sejak remaja perempuan itu berusia 13 tahun lagi.