Miri: Polis memburu abang ipar yang kini menjadi suspek utama kes culik seorang murid perempuan tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Miri tengah hari semalam.
Ketua Polis Miri Asisten Komisioner Junaidi Bujang berkata, penganggur itu dikenali sebagai Julian Jabong, 36, manakala mangsa dikenali sebagai Derrona Joylyn Joseph, 11.
"Kes diklasifikasikan sebagai kes culik mengikut Sekyen 365 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Junaidi berkata, abang murid perempuan itu, Aron Joseph membuat laporan polis kehilangan adik bongsunya pada 6.24 petang semalam.
"Kejadian bermula pada 12.30 tengah hari semalam di hadapan SK Miri, apabila seorang lelaki dipercayai abang ipar menjemput mangsa," katanya.
Beliau berkata, suspek menggunakan kereta Perodua Viva berwarna putih dengan nombor pendaftaran QMU971 untuk mengambil mangsa dan sehingga sekarang suspek serta mangsa gagal dikesan.
Menurutnya, pada 10.20 malam tadi, kereta Perodua Viva itu dijumpai terbiar di tanah lapang Jalan Miri By Pass namun mangsa atau suspek tiada di tempat kejadian.
Beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat kes ini menghubungi Inspektor Chalart Cinda Eh Nem 017-9825150 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Miri 085-433400/085-433730.-Harian Metro
-silakan SHARE utk manfaat bersama-
Sumber : wartawan-jalanan

Blogger Comment
Facebook Comment