SHANDONG - CHINA. Seorang wanita bertindak terjun ke dalam tasik selepas suaminya enggan membelikan beg tangan yang dimahukan.
Berdasarkan laporan portal Shanghaiist, insiden yang berlaku di daerah Dezhou itu menarik perhatian orang ramai yang berada di lokasi.
Wanita tersebut yang dilaporkan terjun ke dalam Tasik Mingyue dipujuk oleh orang ramai untuk naik ke tebing.
Seorang saksi yang mahu dinamakan sebagai Zhang berkata, wanita tersebut berada di dalam air dalam jangka masa yang agak lama.
“Dia telah terjun dan berendam di dalam air tasik yang sejuk selama 20 minit. Dia akan jatuh sakit sekiranya dia terus berendam dalam tasik tersebut,” katanya.
Polis kemudiannya tiba di lokasi kejadian dan melemparkan pelampung keselamatan untuk mengekalkan apungan wanita itu, namun dia dikatakan enggan berpaut pada pelampung tersebut.
Orang ramai dan pihak berkuasa cuba meminta suami wanita itu memujuknya, namun sebaliknya lelaki itu hanya menjerit supaya isterinya keluar dari tasik tersebut.
Namun keadaan mula memuncak sebaik lelaki tersebut terjun ke dalam tasik, memukul dan cuba melemaskan isterinya ke dalam air.
Pihak berkuasa yang melihat kejadian tersebut bertindak menahan suaminya untuk siasatan lanjut.
“Suami saya mendera saya sepanjang masa di rumah. Bukan perkara luar biasa bila dia memukul saya seperti ini.
“Saya ugut untuk bunuh diri bukan kerana beg tangan sahaja, malah untuk semua penderitaan yang saya lalui selama ini,” kata isterinya kepada pihak berkuasa.
Blogger Comment
Facebook Comment