KOTA BHARU - Sejak 10 tahun lalu, jalan mengensot menjadi satu-satunya cara untuk bekas pesakit strok, Zaharah Mamat bergerak termasuk ke kedai runcit berhampiran terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya untuk membeli barang keperluan harian.
Walaupun terpaksa mengesot, hanya itu pilihan yang Zaharah ada selepas ditinggalkan suami sepanjang tempoh tersebut.
“Kebiasaannya, saya  guna pintu belakang untuk ke kedai runcit berkenaan dan terpaksa melalui jalan berbatu serta rumput tebal sebelum sampai ke tempat dituju.
“Jika tidak berdaya, saya minta bantuan jiran untuk belikan barangan keperluan harian, selain belas ihsan penduduk kampung," katanya  selepas menerima kunjungan Skuad Sayang Wanita Umno Pengkalan Chepa diketuai Komandernya, Zarina Md Eusope.
Katanya, dia terpaksa mengensot selepas kedua kakinya gagal berfungsi selepas terjatuh dari motosikal ketika masih bersama suaminya.
Sementara itu, Zarina berkata, beliau akan berusaha membantu membaik pulih rumah Zaharah yang usang selain mendapatkan kerusi roda  untuk kemudahan Zaharah. 
Mereka yang ingin membantu boleh mengunjungi Zaharah di rumahnya di belakang Hardware Rambutan Rendang, Pengkalan Chepa atau menghubunginya di talian 019-9252669.