JOHOR BAHRU - Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menunjukkan trend peningkatan yang mendadak di Johor sejak awal bulan lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata bagi tempoh mulai 14 hingga 20 Mei sahaja, jumlah kes yang dilaporkan adalah sebanyak 161 kes iaitu yang tertinggi setakat ini untuk tahun ini.
Menurutnya, untuk jumlah kes terkumpul pula, Johor mencatatkan sebanyak 1,448 kes dari Januari hingga 11 Jun tahun ini berbanding 1,847 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
"Walaupun jumlah kumulatif kes nampak kurang tahun ini, namun jumlah wabak yang dilaporkan adalah 49 episod iaitu peningkatan sebanyak 113 peratus berbanding 23 episod pada 2015," kata Ayub dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu dua daerah yang mencatat jumlah kes serta wabak HFMD yang tertinggi ialah Johor Baharu dengan 641 kes (20 wabak) dan Kluang dengan 236 kes (14 wabak).
"Justeru, semua pihak termasuk ibu bapa dan penjaga dinasihatkan agar mengamalkan saranan yang diberi iaitu antaranya tidak membawa anak ke tempat awam, sekolah, taska atau pusat jagaan sekiranya mempunyai tanda-tanda jangkitan kerana ini boleh merebakkan jangkitan.
"Selain itu, kanak-kanak yang disyaki mempunyai simptom-simptom HFMD perlu mendapatkan rawatan awal daripada doktor," katanya. - Bernama




Sumber : sinarharian.com