'Persiapan baju raya kami sekeluarga kami hancur dek tailor ini'


Hancur musnah harapan seorang anak ingin menyediakan pakaian raya untuk keluarganya tahun ini gara-gara tailor yang tidak bertanggungjawab ini. Sedangkan ukuran sudah diambil, harga sudah dipersetujui dan dijanjikan akan dihantar seminggu sebelum raya. Namun, apa yang berlaku ialah pakaian yang diterima pula berbeza dengan apa yang ditempah. Baju raya pula dihantar tidak mengikut seperti apa yang telah dijanjikan. 

Disebabkan masalah-masalah seperti inilah yang membuatkan kebanyakan orang fobia dan memilih untuk terus membeli baju raya di kedai. Baca luahan kekesalan Syafeek Ikhwan II terhadap tailor yang tidak didedahkan nama itu di bawah. 


'SAYA DIPERKENALKAN RAKAN PADA TAILOR INI'

Sepanjang saya create profile kedua ni, tak pernah sekali pun saya gunakan untuk mencanang perkara tidak baik, bergaduh, atau perkara seumpamanya. Tapi kali ini, saya decide untuk post sebagai tauladan buat para peniaga di luar sana, dan sebagai peringatan buat kawan-kawan.

Kisah berkenaan pakaian raya. Untuk sesetengah daripada kalian, mungkin perkara ini kecil saja. Maklumlah baju raya apalah sangat. Setiap bulan pun bertukar baju kan? Tapi pada saya, ini perkara yang sangat mustahak. Saya tak berpeluang untuk membeli pakaian khas seperti ini untuk seluruh ahli keluarga setiap bulan seperti sesetengah daripada kalian. Saya sangat look forward untuk siapkan pakaian raya buat ibu abah dan adik pada tahun ini selepas beberapa tahun saya terpaksa dahulukan perkara yang lebih penting berbanding pakaian baru di pagi raya.

Saya akui, kain yang saya beli kali ini memang agak mahal (mengikut lingkungan kemampuan saya) berbanding apa yang kami mampu pakai sejak saya kecil. Niat saya cuma satu, saya nak lihat orang yang saya sayang tersenyum gembira dalam persalinan baru yang sedikit mewah berbanding selalu. Sekurang-kurangnya mereka dapat rasa perasaan itu dan pengalaman berbaju baru yang elok sedikit. Oleh sebab itu, expectation dan harapan saya sangat tinggi agar pakaian yang terhasil nanti sempurna pada badan mereka.

Saya diperkenalkan dengan tailor ini oleh seorang rakan. Tak, ini bukan salah rakan saya. Saya pasti dia pun tak menjangka perkara seperti ini akan berlaku. Dan saya dah survey harga terlebih dahulu. Saya memilih Z***Z** Attire atas satu sebab sahaja iaitu kerana caj tempah baju melayu (kain sendiri) hanya RM150 sepasang, menurut rakan saya itu. Dan apabila saya msg bertanya upah jahit baju kurung biasa, katanya RM120. Maka saya simpulkan harga agak berpatutan walaupun ibu kelihatan agak berat untuk mencuba tailor baru ini. Tapi saya kata tak apa. In shaa Allah semua akan ok.

Seperti dijanjikan, tailor datang ke rumah mengambil ukuran kami, pakaian contoh dan kain-kain untuk dijahit, 2 minggu sebelum Ramadan. Layanan ibu tak pernah kurang, walaupun berkali-kali saya pesan jangan terlalu baik dengan orang yang kita bayar untuk kerja mereka, takut dipijak kepala. Tapi ibu tetaplah dengan sikapnya yang melayan sesiapa saja sebagai tetamu istimewa. Dihidang air, berborak macam kenalan. Tak apalah, saya diamkan. Dah memang begitu cara ibu.

Kami serahkan 6 pasang kain. Dua untuk ibu. Dua untuk adik. Dua untuk saya. Untuk abah, saya belikan dah siap saja sebab abah taknak yang ditempah, membazir katanya. Saya masih ingat, ibu bertanya pada dua org yg katanya pemilik Z***Z** Attire ni. Boleh siap seminggu sebelum raya? Katanya penuh yakin, boleh Puan. Saya lega. Dah terbayang-bayang ibu dan adik berbaju baru yang saya pilih, pagi raya nanti.

MULA RASA TAK SEDAP HATI

Lebih kurang seminggu lebih sebelum raya, adik whatsapp saya, 'Abg, baju dah siap ke?' . Waktu tu baru saya tersedar, dah dekat raya! Langsung saya whatsapp Tailor bertanya tentang baju kami. Esoknya dah sabtu. Ahad depan dah raya. Ibu pun dah bertanya baju macam mana sebab nak beli tudung lah, kasut adik lah. Dan kebetulan tahun ini adik saya mula bekerja sambilan di kolejnya di negeri sembilan. Jadi dia cuma sempat pulang seminggu sebelum raya, itu pun cuma sehari. Memang itu sajalah waktu yang ada untuk kami beli kelengkapan raya yang lain untuknya.

Kalian tahu apa jawapan tailor? 'Saya busy dengan event M**d Rep***** minggu ni. Lepas event saya hantar baju' . Terkejut dengan jawapan itu, saya reply. 'Tapi minggu ni je yang ada masa nak beli tudung dan lain2. Minggu depan dah raya.' Dan, tahu apa jawapannya? Tiada jawapan. Senyap sunyi. Saya beritahu ibu. Ibu kata tak apalah. Kita agak-agak saja warna yang sesuai. Allahuakbar, isu pertama yang kami hadapi. Dan saya dah mula tak sedap hati. Tapi saya pujuk juga hati. Mungkin kita mudahkan urusan orang hari ini, esok lusa urusan kita dipermudahkan. Saya tahu event itu tamat pada hari isnin. Jadinya mungkin selasa kami dah boleh dapat baju. Saya tunggu.

Sampai rabu petang, langsung tiada khabar dari tailor. Orang lain dah mula pulang ke kampung. Suasana raya dah mula terasa. Tapi malangnya saya langsung tak dapat rasa suasana tu sebab terlalu risau harapan untuk tengok keluarga berbaju baru tak kesampaian. Berkali-kali saya call tailor, tak berjawab. Saya whatsapp tak dibalas. Bayangkan apa rasanya, lagi 3 hari lebih Syawal akan tiba. Itulah satu-satunya persalinan untuk keluarga saya. Saya tak sediakan lebih. Itu saja yang termampu untuk kali ini. Ya Allah Tuhan saja yang tahu. Kesabaran makin nipis, tapi saya tunggu juga.

Akhirnya message saya berbalas. Maaf katanya sibuk. Banyak tempahan. Baju akan dihantar jumaat malam. Allahuakbar. Sakitnya hati Tuhan saja yang tahu. Tapi apa boleh buat. Nak taknak terpaksa tunggu walaupun mood raya dah semakin pudar.

DARI SINI NIGHTMARE BERMULA

Jumaat katanya akan datang ke rumah jam 11 malam. Dalam hati, saya dah tertanya-tanya. Tak fikir orang akan tidur awal selepas tarawih ke, sebab esok nak bersahur. Tapi saya tunggu jugak. Saya malas nak bertekak. Saya minta ibu tidur lewat sikit malam itu sebab nak try baju. Sampai 11.30 malam, tak ada update kata on the way. 11.45 malam ibu dah mula mengantuk. Saya call Tailor. Tahu apa jawapannya? 'Saya di KL lagi encik. Hantar baju di Bukit Antarabangsa. Lepas ni saya terus ke rumah encik'.

Untuk pengetahun kalian, kami tinggal di Puncak Alam. KL ke Puncak Alam paling tidak sejam lebih perjalanan. Saya mencongak dalam kepala. Paling awal pun mungkin 2 pagi baru sampai di rumah saya. Logik ke saya nak tunggu sampai 2 pagi? Esok nak bangun sahur. Akhirnya dalam mencuba mengawal amarah, saya kata datang esoklah. Dia kata 'Ok kami datang lepas waktu sahur.' Saya kata ok.

Esoknya lepas sahur saya tak lelapkan mata. Risau makin tebal. Esok dah raya. Allahuakbar, apalah nasib saya dibuat sebegini rupa. Sehingga jam 7 pagi, masih tak kunjung tiba. Akhirnya saya terlelap.
Sekitar 8 pagi, saya terima message katanya sudah on the way. Saya bingkas bangun dari katil, beritahu ibu tailor on the way. Ibu acuh tak acuh. Saya faham, ibu pun dah tak rasa excitement tu lagi. Kecewa hati saya, saya usaha sembunyikan. Sabarlah hati. Mungkin bila ibu sarung baju yang cantik nanti, ibu tersenyum. Saya tunggu mereka tiba.

Mereka sampai dan lekas lekas saya minta ibu cuba baju. Saya pun sama mencuba baju melayu. Baju adik tak dapat dicuba sebab dia masih bekerja sehingga malam raya. Dalam hati, kalaulah baju dihantar sabtu lepas, mesti saya boleh tengok adik tersenyum cuba baju baru dia. Tak apalah, mungkin ada hikmahnya. Saya pujuk hati lagi.

Tiba-tiba ibu panggil dari dalam bilik. And here it comes, the nightmare 😔 Baju ibu menggelebeh kalah baju pinjam. Tangan panjang sampai hampir hujung jari. Bidang badan dah lebih berinci-inci. Dan yang paling saya sedih, pinggang kain besar sampai boleh muat hampir suku badan ibu lagi. Ukuran pinggang berlebih sampai lebih 5 inci. Kalian bayangkan kalau seluar saiz 28, kita beli saiz 33 atau 34. Kan sampai terlucut tu. Ini pula kain baju kurung. Ya Allah kenapa sampai macam ni. 

Baju melayu saya besar dah macam baju lebihan orang saja. Sedangkan saya dah tunjuk 2,3 contoh masa malam mereka datang ambil ukuran. Saya dah kata saya nak baju melayu yang fit cantik. Katanya ok, tailor mereka tahu nak sesuaikan dengan ukuran yang dah diambil. Tapi hasil yang kami dapat, hancur. Dalam 4 pasang yang kami cuba, semuanya ada masalah. Jubah ibu ketat di bahagian bawah tangan, baju kurung sampai longgar macam tu sekali, baju melayu besar macam baju pinjam. Kurta adik, saya acukan pada pakaian biasa dia, ma shaa Allah, dua kali ganda dari saiz dia. Syukur baju kurung dia nampak ok. Dan saya tak boleh buat apa-apa. Cuma berharap ia sesuai bila dia balik ke rumah tengah malam nanti.

Esok raya. Baju kami terpaksa diambil semula untuk alteration. Sungguh, hilang terus rasanya mood raya kami sekeluarga. Dan saya lebih kecewa kerana sedar ia berpunca daripada saya. Tapi saya cuba tenangkan ibu. In shaa Allah everything will be just fine. Mereka janji akan hantar baju jam 2 pagi nanti. Dalam hati saya, ke mana letak otak mereka? Esok pagi kan nak solat raya. Takkan saya nak tunggu sampai 2 pagi. Tapi disebabkan tak ada pilihan saya anggukkan juga.

Malam raya, saya ke Jalan TAR mencari baju melayu untuk abah. Alhamdulillah jumpa warna yang sesuai. RM100 sahaja dan baju abah selesai. Allahu, kenapalah saya bodoh sangat tempah baju dengan Tailor ini? Kalaulah saya ikut saja cakap ibu hari tu untuk tempah dengan tailor biasa, mesti tak jadi macam ni. Sumpah, saya rasa nak menangis mengenangkan bentuk pakaian raya yang mereka akan sarung esok. Entah ada entah tidak. Tapi saya kuatkan juga hati. Again, in shaa Allah everything will be just fine.

TAKBIR DAH MULA KEDENGARAN, BAJU RAYA MASIH BELUM DIHANTAR

Jam 2 pagi saya tunggu di rumah. Tak ada bayang mereka akan datang. Message pun tidak. Kalian bayangkanlah apa saya rasa saat cuba lelapkan mata malam itu. Malam raya, sepatutnya saya boleh gelak ketawa, bertakbir sama-sama, buat persiapan apa yang patut. Tapi akhirnya saya berdiam diri menahan rasa marah, kecewa, risau memikirkan entah ada entah tidak baju raya ibu dan saya.

Bangun pagi 1 Syawal, sebelum solat subuh, perkara pertama saya buat, check handphone. Kalau-kalau ada message update mereka sudah on the way. Tapi tak ada. Selesai solat subuh, saya terduduk. Saya tak dapat sembunyikan lagi rasa sedih. Inilah yang Allah tentukan untuk keluarga saya tahun ini. Saya dah gagal siapkan yang terbaik untuk mereka. Saya gagal.

Takbir dah mula kedengaran dari masjid. Saya turun ke dapur, saya nampak ibu sedang siapkan makanan. Saya jadi takut nak bersuara. Saya taktau nak jawab apa kalau ibu bertanya tentang baju. Abah dah pakai baju melayu yang saya beli malam tadi. Syukur sesuai dengan abah.

Akhirnya saya mandi. Saya keluarkan baju melayu yang saya beli dengan harga RM50 di shopping mall. Mungkin ini baju raya aku tahun ini. Jujurnya saya langsung tak kisah tentang baju raya kalau saya beraya sendirian. Bertahun-tahun saya beraya di luar negara masa study dulu, jauh dari keluarga. Saya tak pernah kisah tentang baju baru. Tapi kali ini saya nak siapkan untuk keluarga saya. Saya nak berbaju sedondon di pagi raya. Kenangan yang cuma boleh dicipta setahun sekali. Tahun depan belum pasti kami masih dapat bersama atau tidak. Tapi dihancurkan oleh janji-janji yang tinggal janji, berlumba mengejar untung semata.

Akhirnya, lebih kurang 7.45 pagi si tailor sampai di depan rumah. Ibu dah tak mahu cakap apa-apa lagi. Saya ambil baju dan tak kata apa-apa. Tailor kata 'Ini baju. Harga nanti saya whatsapp. Buat online transfer saja. Saya pun dah lambat nak balik kampung ni'. Dalam hati saya, kalau kau tak hantar pagi raya, tak ada lah kau lewat balik kampung.

NASI DAH MENJADI BUBUR

Tapi tak apa. Saya tak mahu bazirkan masa. Dah nak kena siap ke masjid. Saya sarungkan baju melayu, sekali lagi saya kecewa. Tangannya masih besar, badannya lebar, tak macam baju yang ditempah langsung. Kalau macam ini, baik saya beli dah siap. RM100 dah boleh dapat macam baju abah. Kecewa. Tapi tak apa. Yang paling penting baju ibu cantik, saya berkata-kata dalam hati.

Selesai bersiap, saya turun ke bawah nak tengok baju ibu. Mesti cantik. Tapi kalian tahu apa yang saya tengok? Abah sedang jahit cangkuk kain ibu sebab kainnya hampir terlondeh. Tangan baju menggelebeh. Ya Allah hancur luluh hati saya. Apatah lagi bila lihat ibu dah tak mampu tersenyum lagi walaupun selama ini ibu tak pernah sekali pun cuba kecewakan saya. Saya tahu kalau ibu tak mampu pura-pura senyum untuk nak buat saya senang hati, maknanya ibu memang teramat kecewa. Ya Allah, saya tak dapat ceritakan macam mana hancur hati saya. Saya taknak tengok muka kecewa ibu lama-lama. Saya cepat-cepat start kereta dan ajak abah ke masjid untuk solat aidilfitri. Ibu tak larat. Adik temankan ibu di rumah. Alhamdulillah baju adik ok. Sekurang-kurangnya, kurang 1 hati yang saya hancurkan.

Apa boleh buat. Nasi sudah jadi bubur. Saya paksa juga buat-buat happy. Buat lawak bodoh, acah-acah semangat ambil gambar raya. Demi nak abadikan momen ini. Tahun depan belum tentu ada lagi. Malangnya baju mereka memang tak sempurna. Sehinggakan tak sampai hati saya untuk post gambar bersama mereka tahun ini. Hancur hati Tuhan saja yang tahu.

Kalau tak silap saya, dua hari selepas itu saya terima message dari Tailor memberitahu jumlah harga dan minta saya transfer. Sekali lagi kesabaran saya diuji. Kain semua kami beli sendiri. Kami cuma hantar untuk tempah jahit. Harga baju melayu sahaja sepasang RM250. Baju kurung ibu hampir RM400 sepasang. Jujurnya saya bukan terkejut kerana harga. Tapi saya terkejut betapa berani Tailor meletak harga seperti itu untuk baju yang hancur boncai yang kami terima dan dihantar pada pagi raya!

Saya masih tak mahu bergaduh. Saya kata ambil semula baju dan betulkan dulu, baru saya buat bayaran. Katanya 'Ok, jumaat saya datang ambil baju'.

Mereka datang ambil baju hari jumaat seperti dijanjikan. Makanya sekali lagi, ibu dan saya tiada baju baru. Sabtu dan ahad terpaksalah keluar beraya dengan baju lama. Sabarlah hati. Tak apa dah memang rosak punah pagi Syawal kami tahun ini. Semuanya kerana silap saya. Apakan daya, saya tak mampu undur masa. Saya cuma harapkan sekurang-kurangnya kain yang susah payah saya cari untuk ibu itu akan jadi sepasang baju yang cantik dan sempurna.

Saya beranikan diri bertanya kenapa harga baju melayu mahal sangat. Katanya itu harga murah. Kalau biasa upah sahaja RM300 lebih. Kalau sekali kain RM500 lebih. Saya confront. Saya kata kawan yang designer ada nama besar jual pada harga yang sama macam awak. Takkan, awak nak charge sama macam mereka. Dia kata memang itu harganya. Again, saya malas bertekak. Saya biarkan. Memang sungguh kali ni saya terkena. Nasi sudah jadi bubur.

Mereka janji untuk hantar baju sebelum sabtu depan sebab ibu nak pakai ke open house. Dan saya perlukan baju melayu tu untuk ke event dan buat persembahan di open house. Saya tunggu hinggalah jumaat malam. Waktu saya beraya di rumah rakan, tailor call katanya nak datang jam 11.30 malam. Saya kata ok, ibu abah ada di rumah. Saya call rumah bagitahu minta tunggu. Biasanya mereka tidur jam 10 atau 10.30 malam. Orang tua, mana larat tidur lewat. Tapi ibu call saya semula katanya tak larat. Hantar esok saja lah. Saya akur dan saya beritahu tailor dan minta hantar sebelum tengah hari esok sebab ibu nak ke majlis raya selepas zohor.

SELEPAS PELBAGAI MASALAH TIMBUL, TAILOR HANYA BAGI DISKAUN RM100

Esoknya saya tunggu hingga pukul 1.00 petang. Tak sampai juga. Saya paksa tenangkan hati saat ternampak ibu keluarkan baju kurung tahun lalu. Allahuakbar, sekali lagi hati saya tercalar. Sungguh-sungguh saya gagal.

1.30 petang, tailor akhirnya muncul di depan rumah waktu ibu sudah bersiap nak ke surau. Ibu kata tak apalah. 'Ibu dah siap pun. Letak saja bajunya'. Saya beranikan diri confront dengan tailor tentang harga sebab mereka gagal tunaikan janji mereka. Mana mungkin saya redha untuk bayar harga penuh selepas impian saya untuk lihat keluarga dalam persalinan baru pada pagi raya dihancurkan oleh mereka.

Kata tailor, 'Saya cuma boleh bagi diskaun RM100 saja sebab itu pun dah murah'. Saya malas bertekak, saya kata 'Awak balik dan bincang tentang harga akhir dengan business partner awak. Nanti whatsapp saya'. Sejujurnya saya naik menyampah tengok muka dia. Saya manusia biasa. Ada had kesabaran juga. Maafkan saya tapi saya betul-betul sakit hati.

Malam itu dia whatsapp. Katanya 'Diskaun memang RM100 saja sebab saya dah buat alteration tapi tak ada extra charge dan minta encik untuk buat bayaran segera'. Dalam hati saya, menyumpah segala. Kesilapan bukan dari pihak saya. Dah kenapa dia nak ungkit pasal alteration yang tak dicaj pula? Tapi saya memang malas bertekak. Saya kata 'Tunggu ibu cuba baju dulu. Dia belum sempat cuba lagi baju yang dihantar tengah hari tadi. Kalau ok baru saya akan bayar'.

Semalam dia message lagi tanya tentang bayaran. Didesaknya saya seolah-olah saya yang buat perangai, katanya dia nak bayar gaji pekerja hari isnin (esoknya). Saya kata ibu belum cuba baju. Tunggulah. Dan memang betul, ibu belum cuba. Ibu tak ada mood. Takkan saya nak paksa ibu. Dah lah ibu kecewa dengan apa yang berlaku, ini nak paksa dia pula. Saya tak sampai hati.

Tailor kata 'Biasanya kami COD baju. Termasuk pada En Sha***** (kawan yang recommend tailor ini)'. Frankly saya tak kisah untuk COD. Tapi kalian rasa saya nak COD di pagi raya ke? Lainlah kalau baju sempurna macam yang diharapkan dan dihantar seminggu sebelum raya macam dijanjikan. Tapi saya tak reply. Saya takut jadi melarat dan buang masa saya. Saya tak bersedia untuk berkelahi dengan orang seperti ini.

IBU SAYA DIMARAHI OLEH TAILOR

Tadi saya sibuk di pejabat dan ditambah lagi dengan rasa geram dan kecewa. Bukan tentang duit. Peruntukan memang saya dah asingkan. Tapi saya rasa mereka perlu diajar supaya tak dibuat perkara yang sama berulang kali pada customers lain pula.

Saya bercadang untuk transfer petang nanti selepas tamat waktu kerja. Waktu dalam meeting, saya terima call dari number yang saya tak kenal. Saya tak jawab. Selepas itu ibu call dari rumah. Saya jawab. Ibu dalam nada sedih bagitahu saya, tailor baru telefon rumah. Tailor luahkan rasa kecewa sebab belum terima bayaran. Katanya, kita sesama orang Islam kan. Dia kata dia bergaduh dengan maknya sebab hal ini (tak pasti apa kaitan dengan baju saya), kalau tak bayar gaji pekerja, nanti pekerja lari habislah dia etc. Itu yang ibu beritahu pada saya. Ibu desak saya bayar cepat sebab ibu takut bila orang marah-marah dia. Suaranya masa call saya tadi pun bergetar-getar. Allahuakbar. Demi Allah, kalau ikutkan hati, memang saya call Tailor dan hamunkan. Tapi apa saya dapat kalau buat begitu?

And because of these series of incidents, akhirnya saya decide untuk post kisah ini di sini dengan harapan kita sama-sama ambil iktibar. Yang menempah jangan terlalu yakin dan berharap. Yang berniaga, jagalah periuk nasi kalian. Saya tak mungkin buat seperti ini kalau mereka tak ganggu ibu sehingga emosinya jadi begitu. Dia tak suka bergaduh. Bila dimarah dalam telefon, dia jadi takut. Semoga perniagaan awak dapat bertahan. Carilah rezeki yang berkat.

Terima kasih kalian yang sudi membaca. Semoga menjadi iktibar.



Sumber : GengViral
loading...
loading...
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment
LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close