TIDAK PERLU SAMAK JIKA TERSENTUH ATAU TERMAKAN BABI


Permasalahan: Baru-baru ini telah muncul pendapat yang mengatakan bahawa sesiapa yang termakan daging babi perlu menyamak mulut dengan berkumur-kumur dengan air tanah. Bagaimana penjelasan syara’ di dalam hal ini.

Jawapan:

Daripada apa yang telah kita bincangkan sebelum ini, dapat kita simpulkan bahawa pendapat ini adalah salah. Ini kerana;
Pertama, untuk kita qiyaskan daging babi dengan air liur anjing, kita perlu mengetahui illah; kenapa syara’ mengkategorikan air liur anjing sebagai najis mughallazhah dan hal ini tidak diketahui. Jadi bagaimana kita boleh menqiyaskan air liur anjing dengan daging babi tanpa kita mengetahui illahnya, sedangkan kesamaan illah menjadi syarat utama di antara syarat-syarat qiyas. Maka qiyasnya tidak ada.
Kedua, pengharaman daging babi telah pun disebutkan di dalam Al-Quran dan juga hadis Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam. Di dalam keduanya; Al-Quran mahupun As-Sunnah tidak menyebutkan perlunya menyamak mana-mana bekas yang terkena dengan daging babi secara khasnya. Sebaliknya syara’ hanya menyebutkan tentang bekas yang dijilat oleh anjing, ataupun disebutkan di dalam hadis bekas yang terkena dengan air liur anjing sahaja (yang perlu disamak).
Maka untuk itu, hanya air liur anjing sahaja yang dikategorikan sebagai najis mughallazhah yang perlu disamak.
Ketiga, apabila kita hendak membincangkan tentang asal permasalahan najis mughalladzah iaitu air liur anjing, di antara permasalahan yang berkaitan tentang air liur anjing ini adalah permasalahan tentang haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Kita semua maklum bahawa syara’ membolehkan anjing untuk buruan atau untuk penternakan. Maka di dalam buruan, syara’ membolehkan kita menggunakan anjing untuk menangkap haiwan buruan.
Dalam masalah haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan, timbul persoalan; apakah perlu menyamak haiwan tangkapan itu yang jelas telah digigit oleh anjing dan telah terkena air liur, sedangkan kita tahu bahawa asal hukum air liur anjing itu adalah najis mughalladzah. Apakah perlu disamak?
Dalam masalah ini secara khasnya, syara’ bersikap memudahkan (memberi kelonggaran). Maka seperti mana yang disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah, syara’ tidak mewajibkan ke atas kita untuk menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan. Maka kalau kita lihat di dalam ayat Al-Quran, Allah Subhaanahu wa Ta’ala mengatakan,
فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ
“Maka makanlah dari apa yang telah ditangkapnya untuk kamu (oleh anjing buruan), dan sebutlah Nama Allah di atasnya.” (Surah Al-Maa-idah, 5: 4)
Dan juga dari hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,
إذا أرسلت كلبك المعلم وذكرت اسم الله ، فكل ما أمسك عليك
“Sekiranya kamu telah utuskan anjing kamu yang telah diajar dan kamu telah menyebutkan nama Allah, maka makanlah apa yang telah ditangkap untukmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kalau kita melihat kedua-dua nash dari Al-Quran dan juga hadis tentang anjing buruan, syara’ sekadar menyebutkan tentang perlunya kita membaca bismillah apabila kita menghantar (melepaskan) sahaja anjing untuk menangkap haiwan. Cukup sekadar itu.
Maka syara’ tidak mewajibkan untuk kita menyamak haiwan yang telah ditangkap oleh anjing buruan. Ini kerana, syara’ di dalam mengizinkan kita menggunakan anjing untuk tujuan berburu adalah bertujuan untuk memudahkan; iaitu memudahkan kita menangkap haiwan yang sukar ditangkap kerana anjing itu cekap dan pantas.
Maka tidak hairanlah mengapa syara’ tidak mewajibkan kita menyamak. Kerana jika kita hendak menyamak haiwan tangkapan, itu jelas bercanggah dengan tujuan utama untuk memudahkan kerana akhirnya kita menjadi susah kerana perlu menyamak haiwan yang ditangkap tersebut.
Bahkan tidak ada riwayat daripada amalan-amalan sahabat; yang mana mereka menggunakan anjing buruan, namun tidak ada satu pun riwayat yang menunjukkan mereka menyamak haiwan tangkapan yang telah digigit oleh anjing buruan.
Kembali kepada pendapat yang mengatakan perlunya samak mulut dengan berkumur-kumur dengan air tanah, ini jelas pendapat yang tidak ada dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan dalil dari Al-Quran dan Sunnah seperti yang telah disebutkan bercanggah dengan pendapat ini.
Jelas bahawa pendapat ini tidak lebih daripada pendapat akal semata-mata bahkan ia lebih bersikap menyusah-nyusahkan dan berlebih-lebihan. Sedangkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda,
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُوْنَ. هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُوْنَ. هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُوْنَ
“Telah binasalah orang-orang yang bersikap melampau. Telah binasalah orang-orang yang bersikap melampau. Telah binasalah orang yang bersikap melampau.” (Riwayat Muslim)
Juga di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari, di mana sabda Nabi sallallaahu ‘alaihi wasallam,
إِنَّ الدِّينَ يُسْرٌ وَلَنْ يُشَادَّ الدِّينَ أَحَدٌ إِلَّا غَلَبَهُ
“Sesungguhnya agama itu mudah, dan tidaklah seseorang menyusah-nyusahkan agama melainkan dia akan tertewas.” (Riwayat Al-Bukhari)
Maka dari itu, sebuah atsar yang disebutkan oleh Saidina Umar Al-Khatthab radhiyallaahu’anhu, beliau mengatakan,
نُهِيْنَا عَن التكلّف
“Kami dilarang daripada bersikap berlebih-lebihan (menyusah-nyusahkan).” (Riwayat Bukhari)
Maka pendapat yang mengatakan wajibnya berkumur-kumur dengan air tanah, bukan sahaja bekas-bekas yang terkena daging babi, atau apa juga yang terkena dengannya perlu disamak; ini juga tiada dalil, ini hanyalah ijtihad semata. Bukan itu sahaja bahkan dikatakan mulut juga perlu disamak iaitu dibasuh sebanyak tujuh kali, yang pertama dengan air tanah. Ini jelas pendapat yang berlebih-lebihan dan bercanggah dengan prinsip syara’ yang memudahkan.
Wallaahu a’lam.

Sumber : ustazidrissulaiman



via Bin Usrah

Sumber : GengViral
loading...
loading...
Share on Google Plus

About Unknown

    Blogger Comment
    Facebook Comment
LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close