Ipoh: Lelaki cedera di lengan kanan terkena tembakan yang dilepaskan pesara kerajaan bergelar Datuk di Kampung Chepor Dalam di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian 1.40 tengah hari itu, pesara terbabit, 64, dikatakan ternampak pergerakan di atas pokok rambutan dan melepaskan satu das tembakan kerana menyangkakan ia adalah monyet.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, siasatan awal mendapati ketika pesara itu berada di rumah abang iparnya di Kampung Chepor Dalam di sini dan sedang berehat di luar rumah berkenaan.
Katanya, dia mendakwa ternampak pergerakan di atas pokok rambutan yang jaraknya lebih kurang 50 meter dari tempatnya berehat.
"Ketika itu pesara berkenaan syaki pergerakan itu adalah monyet dan kemudian dia keluarkan senjata api miliknya serta terus melepaskan satu das tembakan ke arah pokok itu.
"Tiba-tiba dia dengar satu suara mengerang kesakitan dan terus pergi ke tempat berkenaan sebelum mendapati lelaki cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, pesara itu kemudian terus membawa lelaki berkenaan untuk menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).Chang Keong berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes itu yang kini disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjat Api 1960.
Difahamkan senjata api yang digunakan adalah pistol jenis Smith & Wesson.
Blogger Comment
Facebook Comment