Cara Jadi Bapa Muda Terhebat. Amalkan 5 Tip Berkesan Ini!
Bagaimana untuk menjadi bapa terbaik dan memberikan pengaruh yang paling berkesan kepada anak-anak yang sedang membesar? Menurut Tn.Hj Hushim, Hushim Motivational & Counselling Consultancy – HMCC menjadi bapa pada usia muda tidak salah.
Apa yang penting, bapa muda itu perlu tahu situasi yang sedang dihadapi dan juga memahami tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.
Sebagai contoh si Talib. Umur Talib baru mencecah 27 tahun tetapi sudah pun mempunyai tiga orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama si isteri selama lima tahun.
Dalam usia ini dia berasa tertekan dan tidak tahu bagaimana untuk menjadi bapa yang terbaik. Faktor luaran seperti masa, ekonomi dan juga tekanan kehidupan turut menyumbang kepada masalah yang dihadapi oleh Talib.
Kesilapan Bapa Muda Mengendali Anak-anak
a. Kurang Ilmu
Dari segi pengetahuannya mengenal anak sendiri sedikit cetek dan cara untuk berhadapan dengan karenah anak serta personaliti mereka juga kurang mesra.
Bapa muda biasanya panas baran dalam mengatasi masalah kenakalan anak-anak. Gemar menggunakan kekerasan dalam membentuk perlakuan anak. Kurang ilmu untuk memujuk anak-anak yang menangis atau bergaduh dengan cara yang lembut.
Gemar menengking dan memarahi anak-anak dan akhirnya tindakan diambil. Maka terjadinya perlakuan seperti kes pukul, mendera dan sebagainya.
b. Belum Bersedia
Jika dahulu dirinya selesa dengan cara hidup bujang, tetapi sekarang ini apabila hidup berkeluarga mereka kurang peka tentang status terbaru sebagai suami dan bapa.
Masih lagi gemar melakukan rutin semasa bujang dan suka enjoy. Contohnya berparti, melepak di kedai mamak sehingga ke tengah malam dan juga melakukan hobi dahulu seperti mengembara atau memancing.
Kesan perangai lama ini membuatkan hubungan anak dan bapa agak renggang.
c. Mengeluh Dengan Tanggungjawab
Purata keluarga yang berkahwin pada usia muda adalah pasangan berkerjaya. Bapa muda akan rasa terbeban dengan satu lagi tanggungjawab iaitu menjaga anak di rumah jika si isteri keluar bekerja. Anak diasuh dengan baik tetapi berasa terbeban kerana ‘terpaksa’.
Tip Jadi Bapa Muda Terhebat
1. Jadi Pendengar Yang Baik
Anak-anak kecil sewaktu tumbesarannya amat aktif. Di usia inilah mereka banyak bercakap dan bertanya. Dalam kajian mengatakan kanak-kanak akan bertanya 20 soalan sehari secara berulang kepada ibu dan bapanya.
Maka peranan anda adalah menjadi seorang pendengar yang setia. Sentiasa melayan mereka bercakap dan menjawab segala pertanyaannya itu walaupun tidak masuk akal. Mereka akan sentiasa merasakan diri mereka terhibur dengan anda walaupun jawapan anda tidak logik.
2. Mendalami Dunia Anak-anak
Dalam usia anda memasuki 27 hingga 29 tahun, ada anak yang telah berumur empat tahun. Pada usia mereka ini, anda haruslah bersedia dijadikan sebagai ‘ruang rujuk’. Ruang rujuk ini bermaksud situasi anak-anak menganggap bapanya sebagai rakan sepermainan.
Maka pada usia anda 27 hingga 29 tahun ini, anda harus bersedia untuk menjadi kanak-kanak riang semula. Mungkin anda harus menemani anak bermain jongkang-jongket, buaian putar, menaiki kereta kuda muzik bersamanya di pusat membeli belah ataupun taman tema dan sebagainya.
3. Tidak Boleh Penat
Jangan berasa penat dengan kerja-kerja menjaga anak. Jangan menolak ajakan anak yang ingin ke tempat permainan walaupun pada waktu itu anda penat dengan aktiviti seharian dan baru balik ke rumah.
Bagi yang masih kecil, jangan berat hati untuk bangun di tengah malam semata-mata untuk membuat susu. Bila sudah jadi bapa, kena ingat semua itu merupakan tanggungjawab anda.
4. Sentiasa Memeluk Anak Anda
Kajian mendapati jiwa anak-anak kecil akan semakin positif sekiranya dia dipeluk setiap hari oleh orang tuanya. Anak-anak juga kurang jatuh sakit jika dipeluk dengan kasih sayang lebih daripada tiga kali setiap hari.
Emosi mereka juga lebih stabil. Kuasa pelukan ini terbukti apabila anak-anak yang dipeluk kurang menangis berbanding kurang dipeluk.
5. Ikuti Cara Didikan Rasulullah SWT
Ajaran dan perlakuan Baginda merupakan contoh terbaik untuk diikuti dalam mendidik anak-anak. Rasulullah sering memanjakan anak dan cucu sewaktu bermain-main dengan mereka. Baginda juga selalu memeluk mereka dengan penuh kasih sayang sambil memberikan nasihat berguna.
Rasulullah juga sering menziarahi rumah para sahabat Anshar dan memberi salam kepada anak-anaknya dan mengusap-usap kepala mereka. Walaupun mempunyai tanggungjawab yang besar, Rasulullah tidak pernah mengeluh. Ketika bersolat, Baginda masih lagi memangku Al-Husain di atas leher sewaktu menjaganya.
Sumber. Majalah pa&ma
loading...
loading...
Blogger Comment
Facebook Comment