Keracunan makanan adalah antara masalah kesihatan yang sangat biasa kita dengar. Walaupun begitu, sekiranya anak diserang masalah ini, ibu bapa pasti tidak senang duduk.  
Secara umumnya, keracunan makanan adalah masalah kesihatan yang disebabkan oleh mengambil makanan atau minuman yang tercemar atau tidak disediakan dengan sempurna.
Kanak-kanak adalah antara golongan yang paling berisiko. Untuk mengelakkan anak daripada dijangkiti kuman yang boleh menyebabkan keracunan makanan, adalah penting bagi anda mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi semasa proses penyediaan makanan.
Antaranya termasuklah memasak makanan dengan sempurna sebelum diberikan kepada anak. Elakkan juga daripada memberi anak makanan yang telah lama disimpan dalam peti sejuk. Selain itu, cucilah tangan sebelum memasak dan bersihkan  sayur-sayuran serta buah-buahan dengan sempurna sebelum dimasak atau dimakan.
Ingat, jangan beri anak produk tenusu yang tidak dipasteur. Elakkan juga memberi anak makan ikan atau kerang-kerangan sekiranya bimbang tentang tahap kebersihan makanan tersebut.
Berhati-hati ketika memilih makanan yang ingin diberikan kepada anak adalah cara yang terbaik untuk mengelakkan keracunan makanan.
Tentang keracunan makanan
Hampir semua jenis makanan boleh dicemari oleh virus, bakteria atau parasit. Makanan juga boleh memudaratkan sekiranya mengandungi racun serangga atau toksin.
Antara gejala biasa serangan keracunan makanan ialah muntah-muntah, cirit-birit, kejang pada bahagian abdomen, loya dan demam tidak lama selepas makan makanan tercemar.
Pada kebanyakan orang, masalah ini tidak begitu mengganggu dan boleh sembuh cepat. Akan tetapi keracunan makanan boleh menyebabkan dehidrat, keracunan saraf dan kegagalan buah pinggang berfungsi secara normal. Sekiranya kehilangan air dalam tubuh terlalu serius, kemungkinan boleh membawa maut.
Kecenderungan seseorang itu untuk mendapat keracunan makanan bergantung kepada umur dan daya tahan mereka. Selain itu, jumlah bakteria yang terkandung dalam makanan tercemar yang diambil itu turut diambil kira. Biasanya, kanak-kanak lebih mudah mengalami keracunan makanan kerana daya tahan mereka yang masih rendah.
Lazimnya, keracunan makanan boleh dikesan selepas 2 hingga 72 jam mengambil makanan atau minuman yang tercemar. Tempoh kesakitan yang dialami itu boleh hilang selepas beberapa jam. Akan tetapi ada juga yang sakitnya berlarutan sehingga tujuh hari. Semua ini bergantung kepada kekuatan tubuh individu yang terkena keracunan makanan itu.
Tanda-tanda anak anda mengalami dehidrasi akibat keracunan makanan:
1. Bibir kering
2. Tidak ada air mata semasa menangis
3. Kurang selera makan
4. Kurang membuang air kecil
5. Mata cengkung
6. Mengantuk
7. Cepat marah.
Makanan berisiko tinggi
Umumnya, makanan yang berisiko tinggi ialah makanan yang tidak tahan lama atau cepat rosak kerana menggalakkan pembiakan bakteria yang berbahaya. Antara makanan tersebut ialah:
  • Semua jenis makanan berdaging.
  • Susu, krim dan semua makanan berasaskan hasil tenusu.
  • Masakan yang mengandungi telur
  • Makanan laut
  • Salad
Bagaimana elakkan keracunan makanan
1. Pastikan suhu peti sejuk anda bawah 5°C dan suhu pada bahagian freezer 0°C.
2. Setelah keluar membeli barangan ‘basah’,  balik dengan kadar segera untuk mencuci barangan tersebut dan masukkan ke dalam peti sejuk bagi mengelakkan pencemaran.
3. Jangan memberi makanan yang sudah rosak atau busuk.
4. Sekiranya membeli makanan dalam tin, pastikan tin tersebut tidak kemik.
5. Basuh tangan menggunakan sabun sebelum menyediakan makanan.
6. Pastikan peralatan memasak yang digunakan dalam keadaan bersih.
7. Jauhkan haiwan peliharaan anda daripada makanan.
8. Sekiranya ada makanan yang tidak habis, masukkannya ke dalam peti sejuk dan elakkan meninggalkannya dalam suhu bilik lebih daripada 2 jam.
9. Jangan makan telur mentah.
10.Jangan makan makanan atau minuman yang sudah mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan.
11. Buangkan sahaja makanan yang anda tidak pasti kebersihannya.
12. Cuci bersih buah-buahan dan sayur-sayuran yang akan dimakan mentah.
Tahu kah anda :
Bakteria yang biasa dikaitkan dengan keracunan makanan adalah Salmonella, Clostridium perfringes, Camphylobactor, Staphylococcus aureus, Listeria monocytogenes dan Bacillus cereus.